Perjalanan dimulai dengan umrah & ziarah di Mekah dan Madinah. Sudah lama aku impikannya, dan alhamdulillah aku berpeluang juga akhirnya untuk menjejakkan kaki di tanah haram, tanah perjuangan Rasulullah dan sahabat. Tenang rasanya bila tiba di tanah haram pada jam 2 pagi (mungkin sebab aku tertidur keletihan di dalam van!). Tatkala melihat Kaabah di dalam Masjidil Haram buat julung kalinya, rasa satu perasaan yang tak pernah aku rasa. Gembira bercampur syukur? Mungkin. Kaabah yang selama ini dibayangkan semasa solat akhirnya di depan mata. Memang lain. Semasa hendak meninggalkan tanah haram, rasa sedih menguasai diri. Sungguh, benak fikiran dihujani dengan persoalan... adakah aku akan kembali?
Semasa di tanah suci, sempat kuimbau sejarah silam kota suci Mekah ini. Bermula sebagai satu lembah yang tandus, sebelum rahmat Allah menyusul dengan hadirnya Nabi Ibrahim bersama isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail. Kemudian dengan memancutnya air dari telaga Zamzam yang terus merubah Mekah menjadi tanah yang berpenghuni. Sejarah terus diukir kemas dengan pembinaan Kaabah, peristiwa Iblis dilontar batu oleh Nabi Ibrahim dan Ismail. Tidak lupa juga dengan serangan tentera bergajah Abrahah yang menjadi bukti Mekah tanah yang dilindungi oleh Allah. Masa silih berganti dengan lahirnya Khatimul Anbiya' junjungan kita, dan ukiran sejarah Islam dipergah lagi dengan tumbangnya empayar Rom dan Parsi sebelum dihiasi lagi dengan naiknya empayar Islam bermula dengan zaman Khulafah Ar Rasyidin hingga Uthmaniyyah. Kini, Islam akan menjadi new world order dengan syarat - pengislaman diri terlebih dahulu. Kalau tak, impian itu akan reput dihakis angin-angin keegoaan diri.
Kelana kami disusuli pula dengan menziarah Madinah, bandar Rasulullah. Ketibaan daku disambut dengan angin panas tanah Hijjaz yang panasnya macam angin yang keluar dari blower. Kebetulan Madinah ketika itu musim panas. Fuh! Setiap kali diri mengeluh, setiap itulah aku cuba fikirkan, bagaimana dahulu sahabat-sahabat berperang di tengah-tengah panas macam oven. Itu belum lagi di padang Masyar nanti. Walaubagaimana pun, panas-panas macam inilah yang diperlukan, supaya sentiasa sabar dan bersyukur, tak gitu?
Semasa kami berangkat ke Jeddah, terasa kesal tak dapat meluangkan masa lebih di sana. Banyak tempat-tempat aku kepingin untuk melawat, tapi atas sebab kesuntukan masa, dan hiccups yang tak dapat dielakkan, biar saja aku simpan buat masa akan datang, itu pun jika diizinkan untuk kembali ke sana.
Ini adalah foto yang ada. Aku punya belum cuci lagi.

//Masjidil Haram - King Fahd Gate. Photo: Rosman

//Membedal roti canai. Photo by: Rosman
Cukuplah rasanya untuk kali ini. Nanti aku tulis lagi tentang destinasi kami seterusnya : Bumi Syam