i look, i forget, i look again, i forget again, i inspect, i recite it loud, i write it down, i remember... heh!
Sebenih Doa Buat Istanbul
Sebenih Doa Buat Istanbul
Kau seorang tua berwatak hiba, Istanbul,
saat menjemputku menjinakkan kunjungan
ke kota atma
yang dilumuri kenangan.
Katakau, kita adalah sahabat batini dan ruhi,
jua keakraban tauhid dan rabbani. Lalu
sesudah Subuh di Sultanahmet, kauhidangkan
segelas cinta Uthmaniyah.
Sungguh, tak terhirup manisnya sejarah
yang terbancuh antara keras Theodosius
dan ramah segaris Bosphorus.
Di situ kau masih
seorang tua berwatak piatu, Istanbul.
Saat merangkul Hagia Sofia kutahu
ada ketar yang membengkak di dada itu.
Sudah terlalu lama kau menghirup pedihnya
aroma sekular yang meracuni camar-camar Eminonu
juga iklim materi
yang terlalu keras untuk masjid-masjidmu.
Telahpun tenat segala angin dan rumput,
juga batu dan manusia
terhunus sebilah sihir Attaturk
yang buas mengoyakkan roh tawaduk.
Seperti kau, aku juga perindu yang tegar
menunggu kekasih masa lalu; seorang Al Fateh
yang menyalakan matahari di tanah khazanah
juga meranumkan ibadah di kebun Eropah.
Betapa luka generasi yang tertanam
di dalam doa panjangmu
menitis darahnya
ke pakaian kalbuku.
Dan fajar itu di pinggir Marmara
kusegarkan sebenih doa paling hijau
zaman yang menyirami
biar bertumbuh generasi dengan degup Kavakci.
Mari Istanbul, hari masih pagi.
Sama-sama kita nanti tibanya angin revolusi.
Fahd Razy
Islambul, Turki.
Disember 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment