Ibu & Guru 2 - Remembering Someone

Entah kenapa tiba-tiba pada malam ini saya teringat akan sahabat yang baru sekali sahaja berjumpa. Saya fikir beliau antara guru-guru dalam hidup saya. Orang yang saya terkenang ini bukanlah marka jingga, awek atau girlfriend, seperti ramai anak-anak muda kita sedang asyik sekarang, tetapi anak salah seorang mangsa peristiwa M 20 tahun lebih yang lalu.

Bagaimana kami bertemu agak pelik. Sememangnya takdir Allah. Ketika itu saya dan Munzir baru saja tamat mengendalikan English Camp bagi pelajar UPSR di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka. Sedang asyik hendak memecut di susur masuk ke lebuh raya PLUS exit Alor Gajah, tiba-tiba kelihatan seorang pemuda melambai-lambai sebagai isyarat untuk menumpang.

Bagaikan hepatojugular refleks, saya pun memperlahankan dan terus berhenti di bahu lebuhraya. Bergegas dia ke Pajero putih, dan Munzir meng'unlock'kan pintu penumpang. Dia dengan memberi salam masuk dan duduk, dan diletakkan beg galasnya di sisi.

"Assalamualaikum abang, saya Muhammad..."
"Saya Abadi..."
"Saya Munzir..."

Terus saya pecut dan terus berada di lorong paling kanan menuju ke Kuala Lumpur.

"Ya Allah... lindungilah aku dari apa-apa yang tak patut..." getus hati saya. Saat saya berhenti, terus terbayang kes-kes kena 'hijack' dan rompak dan sebagainya... Tapi cepat-cepat saya surutkan dengan cuba bersangka baik dan beristighfar. Allah pasti melindungi hamba-Nya.

Sepanjang perjalanan, saya Munzir dan Muhammad terus berborak untuk saling mengenali. Saya rasa tersentuh juga apabila memikirkan bagaimana sikap sesetengah orang Islam yang menindas orang Islam sendiri. Sedih dan terbakar hati dibuatnya.

Muhammad bekerja sebagai pembantu dapur di sebuah dewan makan di Muar. Saya pasti, beliau merupakan pekerja yang amanah, dedikasi dan rajin. Malangnya, majikannya amatlah kejam dengan tidak membayar gajinya selama 4 bulan! Sudahlah beliau ada tanggungan iaitu ibu di kampung, terpaksalah beliau mengikat perut. Hampeh punya majikan!

Situasi menjadi lebih mendesak apabila ibunya jatuh sakit. Muhammad sebenarnya ingin pulang ke kampungnya di Baling (to be exact Memali), demi menjaga ibu tuanya yang semakin tenat kesihatannya. Duit tiada, macam mana nak balik?

"Abang tahu... saya berjalan hampir 3 hari dari Muar untuk sampai ke highway tadi..."
(Muar ke Alor Gajah... jauh tu!)
"Dalam poket, hanya ada 40sen!"

Begitulah ujarnya... luahan dari hati. Semoga Allah merahmati beliau.

Apa yang membuatkan saya terkenang akan beliau? Nasihatnya pada saya, sampai sekarang masih melekat pada dinding hati ini.

"Kita ni... orang Islam, jadilah macam padi. Makin pandai, makin kaya makin tunduk..."
"Apa ceritanya... dah mengucap, tapi perangai macam Yahudi!"

Pertemuan itu mengajar saya untuk mempraktikkan mutiara yang telah saya dapat dari usrah, ceramah, nasihat, kuliah mp3, powerpoint dan apa-apa saja. Macam keldailah kiranya seseorang itu tahu, tapi tak tahu nak amalkan. Kita cakap berapi, tapi praktikalnya tiada. Allah pun telah berfirman dalam surah As-Shaff ayat ke 2, kan? Nauzubillah.

Sebelum tiba di Kuala Lumpur, saya call ibu di rumah meminta menyiapkan lauk dan bekal untuk beliau. Kita kenalah bantu apa yang kita mampu, ye tak? Akhirnya kami tiba di Kuala Lumpur, dan singgah bersolat di masjid sebelum menghantar Munzir dan terus ke rumah untuk makan dan bersiap-siap.

Malam itu juga saya dan Munzir menghantar Muhammad ke Puduraya untuk ke Baling dengan bas. Agak sedih, sebab tak dapat bertemu lama. Ibunya tenat. Akan tetapi, banyak yang beliau ceritakan kepada kami lebih-lebih lagi tentang peristiwa hitam di utara sana. Kata beliau - Biarlah apa orang kata, kita sama-sama doakan semuanya syahid belaka...

Beberapa ketika kemudian, what a surprise, saya di sana untuk program anak angkat, dan sempat juga melawat pejabat daerahnya. Terkilan bila pemangku D.O. cuba menyembunyikan kebenaran dengan mengatakan ia masih dalam siasatan polis, apa ditanya apa sebenarnya yang berlaku oleh kami peserta program. Heh. You can't hide it forever. It's like ignoring an elephant sitting in your living room, while you're watching tv!

Hmmm Muhammad, sekiranya engkau membaca post ini, ingin saya ucapkan jutaan terima kasih. Walaupun sekejap, tapi amatlah bermakna.

Jarum jam pun dah tunjuk pukul 1.35 pagi. ZZZ

p/s: Muhammad is bukan nama sebenar.

No comments: