Hmmm... terlepas lagi...
Menanti Perang Berakhir di Shah Alam bermula hari ini
Persembahan teater ini menampilkan barisan pelakon seperti Emma Akma sebagai Sarah, Zuraini Kassim (Akmal), Rosli Rahman Adam (Jani), Milyana Arshad (Lydia), Hairi Rosli (Tahir), Mior Sharul (Yusof) selain penampilan istimewa Yunus Mansor, Nazri Ahmad, M Ashib Daud dan Halim Zainal.
Naskhah Menanti Perang Berakhir adalah adaptasi daripada Kamarul AR berdasarkan skrip pemenang hadiah pertama Peraduan Menulis Skrip Drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) karya Muhaimin Sulam.
Ia mengisahkan Akmal, seorang diplomat di Kedutaan Malaysia di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina sedang membuat kajian mengenai Awang Leh. Awang Leh ialah pengikut Tok Janggut. Dia ke Turki untuk menyampaikan surat Tok Janggut kepada pemerintah Islam pada masa itu untuk mendapatkan bantuan bagi menentang penjajahan Inggeris.
Awang Leh kemudian menjadi komander Divisyen Hanzar di bawah panji kerajaan Uthmaniah menentang pihak bersekutu di Balkan dalam Perang Dunia Ke-2. Beliau dipercayai disemadikan di Sarajevo.
Dalam pengajiannya, Akmal bertemu dengan Sarah dan Lydia. Selain menyentuh tentang cinta yang berputih dan cinta yang tidak berbalas, kisah ini juga memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan mengutuk kekejaman Israel. Dunia sentiasa suka berperang? Siapakah yang menanti perang berakhir? Dan, berakhirkah perang? Jawapannya pada kita, makhluk yang dinamakan manusia.
Sementara itu, Kamarul yang menjadi pengarah teater Menanti Perang Berakhir, berkata ini, pementasan itu adalah usaha untuk melangsungkan sesuatu yang berlatar belakangkan latar belakang silam, selain samping sogokan imbasan peperangan dan cinta.
“Ia juga adalah kegiatan yang boleh memberi ruang dan memeriahkan kesinambungan pembangunan teater serta menjadi wadah tontonan khalayak dan warga teater tempatan.
“Apa yang diharapkan semoga usaha ini dapat memanfaatkan kalangan aktivis dan pejuang teater untuk terus menjanjikan kesinambungan kegiatan berteater. Sesungguhnya semua pihak terbabit dan sama-sama memberi komitmen padu dan jitu ke arah membina suasana dan iklim kegiatan teater yang mantap dan cemerlang,” katanya.
Menurutnya, MTNS sebagai pertubuhan teater peringkat Negeri ingin melihat kegiatan teater terserlah yang khusus menjurus kepada pementasan teater bersesuaian sekali gus akan terus pula cuba membantu, membimbing dan menerbitkan sesuatu persembahan dari gandingan penggerak teater di negeri ini.
Katanya, ia sewajarnya diawasi oleh Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Sektoral UPEN), Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, MSAS dan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor sangat diharapkan menyokong pementasan ini.
“MTS melalui ahli-ahli gabungannya dan pengurusan Muzium Sultan Alam Shah ingin terus menjalinkan kesefahaman dan kerjasama dalam hal ehwal teater dengan mana mana agensi kerajaan dan swasta dalam urusan memeriahkan kegiatan teater di peringkat negeri.
“Pementasan teater ini boleh dijadikan wadah seterusnya untuk mendorong dan memberikan kesempatan ‘anak-anak seni teater’ memupuk dan memelihara kepentingan persatuan teater khususnya ahli yang menganggotai Majlis Teater Negeri Selangor.
“MTS, Sektoral UPEN, MSAS dan MKN memahami adanya keperluan pengisian program pementasan teater di Selangor,” tambahnya lagi.
INFO: Teater Menanti Perang Berakhir
Tempat: Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam
Tarikh: 23 Julai, 2009 - 27 Julai, 2009
Masa: 8.45 malam











.jpg)