Kembali di Kampung Pandan

Lega dapat jejak kaki di bumi Kampung Pandan. Memang banyak dah berubah - heh macamlah aku tak balik 10 tahun ke, yalah, cuti musim panas yang lalu sempat aku pulang, jadi perubahan-perubahan itu telah pun aku saksikan.

Hmmm... tidak sabar rasanya nak mengundi buat kali pertama. Berdebar-debar. Ia samalah tarafnya macam baru dapat lesen memandu. Atau pertama kali turun berkhemah sewaktu darjah 3 dahulu. Pendek kata, ada unsur-unsur saspens a la James Bond. 'Poyo' betul.

Kampung Pandan yang aku diami dari kecil memang sudah banyak berubah. Dahulunya Pandan Indah, dan segala jenis Pandan sekitarnya, hanyalah bekas lombong bijih timah. Di situlah tempat aku bermain-main - dan sekiranya kantul, disebat juga aku boleh mana-mana orang tua. Yakni, kalau bapa kawanku yang mengantulkan kami secara berjemaah, maka aku turut menerima birat-birat halus... heh... dasar budak-budak yang degil.

Kini Pandan dipenuhi dengan rumah pangsa dan teres pelbagai bentuk dan saiz. Tiada lagi kebun sayur. Tiada lagi bekas lombong yang boleh aku main-main air di tepinya (aku tak tahu berenang). Sekarang digantikan dengan Menara Maxisegar, Pandan Capital, Hospital Pakar Ampang (milik KKM), dan yang paling merunsingkan kepala - MRR2 Pandan Interchange, yang sesak kedua-dua hala terutamanya ketika waktu puncak. Memang tersohor sungguh kesesakannya hingga disebut-sebut tiap-tiap hari dalam segmen 'Trafik dan Anda' di siaran radio.

Heh, sempenan PRU 12, tidak kurang hangat juga perang poster. Biru ada (BN dan PKR), Hijau ada (PAS) dan juga Merah (DAP). Lain-lain warna yang bercampur seperti Gerakan tidaklah berapa terserlah.

Cuma aku terfikir, kenapa banyak sangat poster dan bendera... sebab aku cuma fikirkan tentang apa jadi setelah tamat PRU 12 nanti. Semestinya semuanya akan dibuang... ya dibuang... maka banyaklah sampah sarap. Itu belum campur yang tertanggal ka... dek angin atau kerja-kerja sabotaj.

Rupa-rupanya kita memang kena salahkan ketidakbebasan media. Yalah, yang aku lihat, promosi pembangkang yang banyak. BN tak perlu susah-susah sebab ia memang monopoli media. Jadi bagi pihak pembangkang, nak sampaikan mesej kepada massa... segala usaha dan medium digunakan. Poster, risalah, bendera... itu yang hardcopy lah. Di internet, sememangnya banyak laman sesawang, video, poster, malah kartun pun ada. Namun, bukan semua ada komputer, tambahan pula dengan Streamyx yang lembap.

Apa cerita pula tentang televisyen? Ramai betul orang yang memiliki peti televisyen. Tambahan pula faktor Malaysia sebagai sarang mashyur VCD dan DVD cetak rompak. Nak tengok mestilah ada TV kan? Eh, macam mana pula dengan stesen siaran awam ie. RTM? Haha, mestilah tak boleh beri peluang kepada pembangkang. Itukan BN punya... sampai dah jadi rahsia umum... sedang radio IKIM yang seharusnya 'neutral' pun DJ berkata, marilah kita undi BN demi kemakmuran tamadun Islam... hehe... itu siaran lepas subuh beb. Itu baru radio. Belum kira televisyen...

Jadi, kitdakbebasan media terutamanya elektronik (TV dan radio) dan cetak, bukan saja tidak adil, malah membahayakan alam sekitar. Segala jenis poster, bendera, dan risalah dicetak dan diagihkan kepada massa, dan akhirnya banyak yang dibuang. Kesian MPAJ kena kutip... Eh, mana pula kad bisnes Karam Singh Walia. Aku nak tanya dia samada benda ini boleh jadi isu ke tidak...

Heh... tiba-tiba terbayang:

"Kelihatan poster-poster ini akhirnya jatuh ke dalam longkang dan menyebabkan ia tersumbat... lebih teruk lagi sekiranya hujan lebat..." (sambil gerak-gerak tangan)

(Video poster-poster dan risalah-risalah yang bersepah-sepah... sambil ditiup angin...)

"Saya akhiri liputan saya dengan serangkap pantun;

Pucuk pauh delima batu,
Nasi lemak jual atas motor,
Media dimonopoli oleh yang warna Biru
Akhirnya alam sekitar yang kotor...

Karam Singh Walia, TV3."

No comments: