Assalamualaikum semua. Bertemu lagi dalam rancangan memasak... Kali ini kita akan masak Seri Muka. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, Seri Muka adalah kuih a la kek yg mempunyai dua lapis, yg atas rasanya manis hasil dari adunan tepung, gula dan santan; dan bawahnya rasa lemak dari beras pulut dan santan. Bila mengunyah, memang terasa keunikan kuih kerana terasa di dalam mulut lemak dan manis.
Agaknya sebab tu kuih ni dipanggil seri muka. Bila dimakan naik seri muka kot. Mungkin inilah rahsia keserian muka anak-anak dara Melayu di zaman dahulu kala, dan mungkin masih diamalkan sekarang.
Okay tuan-tuan dan puan-puan... berikut adalah ramuannya.
Lapisan atas, yang berwarna hijau
- 250 gram Tepung gandum
- 150 gramGula kaster atau gula pasir
- Susu segar 100mL
- Telur ayam 3 biji
- Santan 250mL
Lapisan bawah
- Beras pulut 250 gram
Lain-lain
- Garam
- Pewarna hijau
- Daun pandan (untuk bau)
Cara-cara:
//Lapisan atas
1 - Adun 250 gram tepung bersama gula dan santan. Gunakan mixer supaya adunan menjadi sebati.
2 - Tambahkan telur dan teruskan mengadun sehingga betul-betul sebati.
3 - Pastikan adunan menjadi pekat sedikit berbanding susu Ideal atau susu sejat (bukan susu pekat manis... tu dah pekat sangat). Formulanya - Kalau cair sangat, tambah tepung. Kalau pekat sangat, tambah santan atau susu. Jangan tambah telur, jika tidak adunan akan mengembang sangat ketika dikukus nanti.
4 - Tambahkan pewarna... hijau, biru, oren, apa-apa sahaja. Jika hendak ia berwarna coklat, tambahkan koko. Merah? Tambahkan sirap ros. Kuning? Tambah serbuk kunyit.... ehhh silap kordial oren atau mangga. Kemudian biarkan seketika.
//Lapisan bawah
1 - Basuh 250 gram beras pulut sehingga bersih dan toskan.
2 - Ratakan beras pulut tadi di dalam loyang supaya dalammnya lebih kurang 2 cm.
3 - Tambahkan sedikit garam dalam santan, sebelum dituang sehingga paras santan sama dengan paras beras pulut.
4 - Kukus sehingga masak, rasanya lebih kurang 15 minit. Sementara itu, anda bolehlah membaca buku, menebas semak di belakang rumah, mahupun mengemas balik dapur ataupun membasuh mixer yg anda gunakan tadi.
Bila lapisan bawah dah masak, cucukkan dengan garfu supaya ade liang-liang. Ini supaya bila adunan dituang, ia akan meresap sekaligus mengukuhkan percantuman dua lapisan nanti. Takdelah bila tengah pegang kuih nih, tiba-tiba bercerai dua pula...
Setelah lapisan beras masak, tuangkan adunan ke atasnya supaya dalamnya 2 - 3 cm. Kemudian kukus sehingga masak.
Siap! Potongkan 5cm x 3cm seeloknya. Tak besar sangat, juga tidaklah terlalu kecil. Dihidangkan sewaktu minum teh atau sarapan pagi. Bila makan, pastikan anda mengunyah kedua-dua lapisan serentak... baru ade ummpphh!
Cara tambahan:
Didihkan air, gula dan pandan sehingga naik bau. Kemudian tambah pada adunan. Insha Allah bau pandan takkan hilang.
Selamat mencuba! Kalau ade pembetulan, silalah beritahu.
Nota : Aku tak reti sangat exact measurement kuih ini. So kalau agak-agak tak jadi tuh, jangan marah ye... Aku pun belajar dari mak aku pun, main agak-agak... cuba jaya... dan trial n error.
No comments:
Post a Comment